Isnin, 18 April 2011

Siapakah Awang Selamat di Mingguan Malaysia

Siapakah penulis ruangan pojok Awang Selamat di Mingguan Malaysia yang  mencadangkan Barisan Nasional (BN) agar meminggirkan masyarakat Cina dan tidak perlukan sokongan masyarakat tersebut untuk memerintah. Penulis inilah yang menyatakan bahawa aspirasi Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia adalah untuk UMNO/BN, aspirasi kedua-dua akhbar ini untuk menyokong UMNO/BN - apa pentingnya masyarakat lain yang penting Melayu.

Penulis ini memasuki Utusan dengan kelulusan SPM iaitu semasa menunggu keputusan STPM pada tahun 1982 dan menaiki tangga kejayaan di Utusan dengan bersikap `yes sir' tak menongkah arus bagi memastikan ia naik ke jawatan tertinggi. ramai rakan seangkatannya menggelarkannya ` rupa macam syurga tetapi hati macam neraka' dan ini sebenarnya menggambarkan wataknya baik di hadapan tetapi dibelakang heeem hanya Allah SWT yang tahu.

Tak perlulah saya menyebut namanya dan lihatlah wajahnya sendiri benarkah apa yang dikatakan rakan seangkatannya di Utusan `rupa macam syurga tetapi hati macam neraka' ramai yang telah terkenal dengan kelicikannya. Inilah wajahnya apa macam ada rupa syurga ke rupa neraka.


Realiti baru - Oleh Awang Selamat - Mingguan Malaysia

AWANG bersyukur Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan kuasa memerintah Sarawak pada pilihan raya negeri itu semalam.
Walaupun ia merupakan pilihan raya paling mencabar, majoriti rakyat Sarawak memberikan mandat kepada BN. Segala kebimbangan kononnya akan berlaku tsunami sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pembangkang, tidak menjadi kenyataan. Walaupun BN memperoleh 55 kerusi berbanding 63 pada 2006 tetapi kemenangan dua pertiga itu amat signifikan.
Awang mengucapkan tahniah kepada rakyat Sarawak kerana tidak terjebak dengan sentimen liar, manipulasi dan putar belit pemimpin pembangkang tertentu terutama Anwar Ibrahim.
Kempen untuk mengubah kerajaan negeri nampaknya hanya disambut oleh majoriti pengundi Cina. Masyarakat bumiputera tetap teguh bersama BN.
Keputusan tersebut mempunyai makna yang perlu diterjemahkan oleh kerajaan negeri pimpinan Abdul Taib Mahmud. Awang berharap Taib akan menubuhkan Kabinet dengan mengambil kira realiti daripada peti undi. Ternyata, rata-rata pengundi Cina menolak BN dan menyokong DAP. Maka kerajaan negeri BN tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum itu. Kabinet Sarawak mesti reflektif kepada keputusan dan sikap pengundi. Mesej yang jelas perlu disampaikan. Taib sewajarnya perlu lebih memberi penghargaan kepada golongan yang menyokong beliau dan kerajaan BN.
Dalam pilihan raya kali ini, suka atau tidak, penghargaan atas kemenangan BN harus diberi kepada Taib selaku Pengarah pilihan raya BN Sarawak dan para pemimpin BN negeri itu. Tetapi penghargaan lebih istimewa adalah kepada Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak dan timbalannya, Muhyiddin Yassin yang bekerja keras mendampingi rakyat Sarawak sejak beberapa bulan lalu. Kehadiran Najib dalam kempen banyak membantu. Awang sendiri melihat kegigihan beliau dan menyaksikan kunjungan beliau ke merata tempat, mendapat sambutan hebat daripada rakyat. Komitmen yang tinggi turut diperlihatkan oleh seluruh jentera BN sama ada dari pusat mahu pun negeri.
Namun banyak pengajaran yang perlu diambil oleh BN selepas ini termasuk dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum nanti. Sekali lagi, sikap pengundi Cina semakin jelas terus menolak BN. Awang percaya, sentimen pengundi Cina di Semenanjung juga masih sama. Hakikatnya, selepas menguasai ekonomi negara sebegitu lama, masyarakat Cina mahukan pengaruh dan kuasa politik yang dominan. Kepada BN, janganlah diharapkan sesuatu yang samar malah mungkin boleh memakan diri. BN perlu merangka strategi baru tanpa mengharapkan pengundi Cina akan kembali menyokong parti itu. Itu risiko besar maknanya. Usahlah dirayu dan dipenuhi segala permintaan jika akhirnya sokongan tetap kepada DAP. Biarlah sokongan itu secara natural datang sendiri. Jika pun pengundi Cina terus menolak BN, janganlah bimbang, akan ada jalan keluarnya.
Keputusan pilihan raya Sarawak kemungkinan besar boleh berulang pada pilihan raya umum. BN mampu memerintah tanpa sokongan kaum Cina, walaupun senario itu mahu dielakkan. Yang penting ialah memperkasakan lagi golongan pengundi yang menjadi penyokong setia. Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendung keciciran. Dengan sokongan bumiputera, Melayu, kaum India dan etnik lain, yang kian meningkat, potensi BN untuk menang tetap besar.
Jika ada penambahan peratusan kecil pengundi Cina, itu bonus. Semua pihak perlu bersedia dengan realiti baru. Keyakinan ke arah itu mesti bermula dari sekarang. Awang sudah lama bersedia.